Sunday, May 31, 2009

TEKS UCAPAN PERASMIAN
TUNKU PUTERI

HARI ANUGERAH CEMERLANG
SEKOLAH MENENGAH SAINS POKOK SENA
KALI KE- 12
30 JUN 2009






Bismillahhir-rahmanir-rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

YANG BERBAHAGIA
PUAN ASHAH BT SAMAH
PENGARAH BAHAGIAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH DAN KLUSTER
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA,

YANG BERBAHAGIA
PENGARAH JABATAN PELAJARAN NEGERI KEDAH

YANG BERUSAHA
PEGAWAI PELAJARAN DAERAH KOTA SETAR

YANG BERUSAHA
PEGAWAI DAERAH POKOK SENA

YANG BERUSAHA
TN HJ. JAMALUDDIN BIN ARIFFIN
PENGETUA KANAN SEKOLAH MENENGAH SAINS POKOK SENA

YANG BERUSAHA
TN HJ. SAADIN BIN ABDULLAH
YDP PIBG SEKOLAH MENENGAH SAINS POKOK SENA

PENGETUA –PENGETUA, GURU GURU BESAR, IBU BAPA, GURU-GURU, DAN PELAJAR YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN.



Terlebih dahulu marilah kita sama-sama melafazkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin dan rahmat-Nya maka kita dapat berhimpun untuk menjayakan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Sains Pokok Sena kali ke-12 tahun 2009. Saya sungguh gembira kerana berpeluang bertemu dengan ibu bapa, guru-guru dan para pelajar di sekolah yang tersohor di negeri Kedah Darul Aman. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada warga Sekolah Menengah Sains Pokok Sena kerana telah berjaya mangadakan majlis yang gilang-gemilang dan amat bermakna ini.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para pelajar yang akan menerima anugerah cemerlang pada pagi ini. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada ibu bapa dan para guru yang telah berusaha gigih mendidik dan membimbing para pelajar sehingga mereka menjadi seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan juga kokurikulum. Saya mengakui, bukan satu perkara yang mudah bagi ibu bapa dan juga guru mendidik anak-anak zaman era globalisasi dan liberalisasi yang penuh cabaran, kerana generasi muda kini mempunyai paradigma mereka sendiri dalam melayari kehidupan remaja mereka.





Hadirin dan pelajar yang dihormati sekalian,

Tahap pendidikan masyarakat akan menentukan pertumbuhan ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi yang seimbang pula dapat mengurang dan membasmi kemiskinan. Terdapat bukti kukuh yang mengaitkan pendidikan dengan pertumbuhan ekonomi dan produktiviti. Hasil kajian lepas yang dilakukan ke atas 50 negara menunjukkan bahawa tambahan satu tahun persekolahan dapat meningkatkan kadar KNK sebanyak 0.37% dan apabila digabung dengan penambahbaikan kemahiran kognitif ia meningkat kepada 1%. Kajian lain pula mendapati tambahan satu tahun persekolahan akan meningkatkan pendapatan individu sebanyak 10%.

Oleh itu, pelajar-pelajar sekalian, tingkatkanlah usaha untuk memajukan diri sendiri kerana hasilnya adalah kemajuan yang luar biasa bagi pembangunan negara. Dalam hal ini, marilah kita bersama menggembeling tenaga menyokong usaha supaya para pelajar kita mempunyai daya saing untuk maju dan berjaya dalam pelajaran.






Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekelian,
Matlamat kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia; rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia ialah membina sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.

Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Dengan demikian,marilah kita bersama menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi. Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru
dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran; serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.

Hadirin sekelian,
Saya juga berasa sungguh gembira kerana sekolah Menengah Sains Pokok Sena terus melakar kegemilangan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum selari dengan visi sekolah “Kegemilangan Semua Bidang” sepertimana yang telah diumumkan oleh tuan pengetua sebentar tadi. Saya berharap agar kejayaan yang ditunjukkan oleh warga Sekolah Menengah Sains Pokok Sena akan menyemarakkan semangat belajar kepada semua pelajar di negeri Kedah khususnya.

Saya percaya , barisan pelajar yang ada di hadapan saya kini bakal menjadi seorang pemimpin yang mempunyai karisma tinggi dan mampu menerajui negara pada masa akan datang . Oleh yang demikian , Saya ingin menekankan betapa pentingnya peranan ibu bapa dan pihak sekolah untuk menerapkan elemen kepimpinan kepada pelajar melalui kepelbagaian aktiviti kokurikulum yang dijalankan samada di sekolah.ataupun di luar dalam usaha melahirkan pemimpin kelas pertama.

Sempena dengan majlis ini, saya menyeru kepada para pendidik, ibu bapa dan pelajar-pelajar agar menyeimbangkan kegemilangan dalam pencapaian akademik dan kokurikulum. Saya sentiasa berpegang kepada kepercayaan bahawa jika sesuatu bangsa itu mahu berubah dan mengatasi segala cabaran, maka aset yang paling penting untuk bangsa itu berjaya adalah sumber manusia yang berilmu pengetahuan. Saya yakin Sekolah Berasrama Penuh mampu menjadi peneraju utama sumber modal insan yang akan merealisasikan hasrat pemimpin negara kearah menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Para guru dan hadirin sekalian ,

Saya ingin memetik kata-kata daripada Saidina Ali bin Abi Talib;- “Orang yang berilmu lebih utama daripada orang yang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang yang berilmu, maka terdapat suatu kekosongan selain oleh penggantinya (yang berilmu juga)… Sehubungan dengan itu, saya amat berharap, para guru memahami akan tanggungjawab yang begitu besar kerana disitulah lahirnya modal insan yang akan memenuhi aspirasi negara. Saya amat berharap para guru tidak akan mudah mengaku kalah atau lemah apabila berhadapan dengan pelbagai situasi dan permasalahan yang membabitkan pewaris negara kita ini. Hasrat negara untuk melahirkan modal insan yang gemilang dan terbilang akan hanya dapat direalisasikan dengan adanya komitmen dan kesungguhan para guru dalam mendidik anak bangsa Malaysia.




Pelajar-pelajar sekelian,

Saya berharap dan memanjatkan doa agar semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM pada tahun 2009 akan beroleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan kelak dan apa yang lebih penting adalah kesediaan kalian untuk menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa dalam apa jua bidang yang diceburi. Sesungguhnya, pendidikan mampu membina negara bangsa.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Bagi mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang akan menerima anugerah pada hari ini. Saya berharap agar Sekolah Menengah Sains Pokok Sena akan terus meningkatkan kecemerlangan dan menjadi antara sekolah yang terbilang di Malaysia.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahhi-rahmanir-rahim saya dengan sukacita merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Sains Pokok Sena kali ke-12 bagi tahun 2009.
Wabillahi taufik wal hidayah Wassalamualaikum warah matullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment